APRIL 2025

London Bridge Bakal Transformasi Ekonomi Sibu


SIBU: Bandar Sibu tidak terlepas dari menerima kerancakan pembangunan infra apabila bakal mempunyai jambatan yang seakan menyerupai London Bridge.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan jambatan ikonik itu akan mentransformasi bahagian itu terutama bidang ekonomi.

Katanya, pembinaan jambatan itu akan meningkatkan potensi ekonomi bandar Sibu khususnya di kawasan barat yang boleh dibangunkan termasuk sektor pertanian dan industri berteraskan pertanian.

"Kalau di Bintulu ada 'Golden Gate Bridge'. Orang Sibu juga tidak mahu kalah. Orang Sibu mahu bina 'London Bridge', yang menghubungkan kawasan barat dan kita luluskan.

"Saya dan rakan-rakan (kabinet) akan mencari dana untuk membangunkan jambatan ini. Mudah-mudahan akan menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Premier Sarawak di sini, malam tadi.

Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.

Terdahulu Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee dalam ucapan aluannya memohon pembinaan jambatan tersebut.

Mengenai cadangan untuk membina Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Abang Ali, Premier Sarawak menyatakan persetujuannya sambil menambah, perbincangan akan diadakan bersama Kerajaan Persekutuan mengenai perkara tersebut.

"Kalau boleh kita akan buat tetapi Kerajaan Persekutuan perlu bayar balik untuk membangunkan sekolah menengah ini. Kita gunakan dana kita dulu," jelasnya.

Selain itu, beliau juga meluluskan cadangan untuk membangunkan Perumahan Pasangan Muda di Kampung Teku.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan-timbalan Menteri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) .